Friday, June 19, 2009

1 soalan 100 jawapan

Suatu hari semasa Ali memberi syarahan dalam suatu majlis ilmu, datang 10 orang lelaki yang hendak menguji kehebatan ilmunya.

“Wahai Ali, benarkah Rasulullah berkata, saya adalah kota ilmu dan Ali adalah pintunya?” Tanya salah seorang daripada lelaki itu.

“Memang benar…” Jawab khalifah Ali bin Abi Talib.

Lelaki pertama bertanya, “Wahai Ali, manakah yang lebih baik antara ilmu dengan harta?”

“Sudah tentu ilmu itu lebih baik daripada harta.” Jawab Ali.

“Apa dalilnya, wahai Ali?” Tanya lelaki itu lagi.

“Wahai saudaraku, ilmu itu adalah warisan para nabi dan rasul. Harta itu warisan Qarun, Firaun, Syaddad dan lain-lain.” Jawab Ali.

Lelaki kedua pula bertanya, “Wahai Ali, manakah yang lebih baik antara ilmu dengan harta?”

“Tentulah ilmu itu yang lebih baik daripada harta.” Jawab Khalifah Ali. Dia tidak menunjukkan rasa marah.

“Apa dalilnya?” Tanya lelaki kedua itu lagi.

“Wahai saudaraku, ilmu itu menjaga kamu tetapi harta itu kamu yang menjaganya.” Jawab Khalifah Ali.

Lelaki ketiga pula bertanya, “Wahai Ali, manakah yang lebih baik antara harta dengan ilmu?” Maka dijawab oleh Khalifah Ali, “Wahai saudaraku, orang yang mempunyai banyak harta akan mempunyai ramai musuh. Tetapi orang yang banyak ilmu mendapat ramai kawan.”

Lelaki keempat juga bertanya soalan yang sama. Jawapan Ali, “Wahai saudaraku, harta itu apabila dibelanjakan ia akan berkurang. Tetapi ilmu itu jika diamalkan akan bertambah.”

Lelaki kelima juga bertanyakan soalan yang sama. Maka dijawab oleh Ali, “Wahai saudaraku, orang yang banyak harta biasanya kedekut dan tidak dihormati. Mereka yang banyak ilmu pemurah dan dihormati.”

Lelaki keenam pula bertanya lalu dijawab oleh Khalifah Ali, “Pemilik harta akan dihisab di hari kiamat. Ilmu pula akan memberi syafaat kepadanya pada hari kiamat.”

Khalifah Ali memandang ke arah lelaki yang ketujuh lalu berkata, “Harta menjadikan pemiliknya keras hati, tetapi ilmu menjadikan pemiliknya terang hati.”

Kepada lelaki kelapan Khalifah Ali berkata, “Harta semakin lama disimpan ia semakin usang tetapi ilmu tidak usang dan tidak lapuk.”

Kemudian Khalifah Ali terus berkata, “Pemilik harta akan berkata harta itu milik dia. Pemilik ilmu pula berkata ilmu itu milik Allah.”

Akhirnya 10 lelaki yang hendak menduga ilmu Khalifah Ali bin Abi Talib itu beredar. Orang ramai berasa kagum kerana Khalifah Ali dapat menjawab banyak jawapan dengan hanya satu soalan.

“Sekiranya 100 orang yang datang bertanya satu soalan yang sama aku boleh memberi 100 jawapan yang berbeza.” Kata Khalifah Ali bin Abi Talib.

Related Posts with Thumbnails
 
copyright reserved R.I.M.B.A.M.A.Y.A.K.I.T.A 2010