Salam kawan2 rimba sekalian.. harapnya semua dalam berada dalam kemanisan iman dan Islam. Kali si lalang nak kongsi dengan semua. Sebuah artikel yang memberi pemahaman kepada kita kenapa iman tu penting bagi seorang yang bergelar muslim atau muslimah. Selamat membaca!!
Iman sebagai penyelesaian
Oleh : Hilal Asyraf
http://ms.langitilahi.com
Kalau ditanyakan kepada saya, apakah kunci kejayaan ummat Islam zaman lampau, maka saya akan nyatakan jawapan saya dalam satu kalimah sahaja. Kalimah itu ialah:
Iman.
Kenapa?
Kerana dengan kewujudan iman, keteguhan mereka tidak tergoyah, dan kekuatan mereka tidak akan terlemah. Mereka sentiasa yakin dalam melaksanakan sesuatu, dan sentiasa percaya bahawa segala susah payah mereka bukan sia-sia.
Kita memandang sebentar kepada lipatan sejarah, permulaan Islam. Rasulullah SAW menghabiskan 13 tahun di Makkah, sebelum berhijrah ke Madinah. Di Madinah, Rasulullah SAW melalui 10 tahun kehidupan akhirnya di sana.
Apakah perbezaan fasa Makkah dan Madinah?
Mungkin ramai yang akan menjawab bahawa, fasa Makkah adalah fasa permulaan, fasa kesusahan, fasa ditekan, manakala fasa Madinah adalah fasa penyebaran, kekuatan dan keteguhan.
Namun, ramai yang tidak melihat bahawa, kedua-dua fasa ini hakikatnya adalah aturan Allah SWT yang amat cantik. Ketahuilah bahawa, Fasa Makkah itu adalah fasa pembinaan iman.
Kalau kita rujuk kitab-kitab yang membicarakan asbab nuzul(sebab turunnya) Al-Quran, maka kita akan perhatikan bahawa ayat-ayat hukum kebanyakan turun pada fasa Madinah. Tetapi, ketika fasa Makkah, Allah SWT menurunkan ayat-ayat berkenaan sirah-sirah Nabi terdahulu bersama kaumnya, ayat-ayat berkenaan kebesaran dan kekuasaan Allah, ayat-ayat berkenaan syurga dan neraka, balasan-balasan orang yang beriman dan ancaman kepada orang yang kafir dan banyak lagi ayat-ayat yang sedemikian rupa.
Walaupun fasa Makkah adalah fasa penindasan, Allah SWT ketika itu tidak pula menurunkan ayat hukum wajib berperang. Malah, apabila para sahabat ingin menuntut bela atas kematian Sumaiyah, Rasulullah SAW telah menghalang.
Perhatikan. Apa hikmahnya Allah menyusun semua itu sebegitu rupa?
Di sinilah terselitnya kepentingan iman dalam kehidupan insan. Lihatlah bagaimana Allah SWT mentarbiyah rasul-Nya dan manusia-mansuia bertuah di sekeliling rasul-Nya itu.
Allah membina iman mereka terlebih dahulu, sebelum mengarahkan mereka melaksanakan arahan-arahan dan tanggungjawab yang pelbagai. Allah mendidik mereka secara tidak langsung untuk tabah dalam keyakinan mereka kepada janji-janji Allah.
Kita sedia maklum bahawa, fasa Makkah adalah fasa yang sukar. Rasulullah SAW sendiri diancam dengan pelbagai ancaman, dan diperlakukan dengan penuh hina sekali. Dibaling najis, dipukul dan dikeji setiap hari. Ummat Islam ketika itu, diseksa dengan pelbagai seksaan, malah ada yang dibunuh.
Hidangan rohani ummat Islam ketika itu adalah ayat-ayat Allah SWT berkenaan syurga, dan balasan manusia-manusia yang berkorban di atas jalan-Nya. Ummat Islam ketika itu, dididik untuk yakin kepada Allah SWT walau hingga hujung nyawa.
Maka, muncul lah manusia-manusia hebat seperti Bilal bin Rabah, yang diseret di tengah padang pasir, dihempap batu besar di tengah panas, tetapi masih lagi mengesakan Allah SWT. Lahirlah manusia seperti Abu Bakr RA, yang bila berlakunya peristiwa Isra’ Mi’raj dan manusia semuanya meragui kebenaran kisah itu, dia berkata: “Andai Rasulullah menyatakan lebih dari itu lagi(maksudnya lebih tak masuk akal lagi dari kisah naik ke langit) maka aku akan percaya”
Bila iman itu terbina, hati dibasuh dengan pancuran keyakinan yang tiada taranya, maka lahirlah manusia-manusia yang sanggup berkorban. Orang terkaya di Makkah ketika itu, Abdurahman bin Auf RA dan Suhaib Ar-Rumy RA, telah pergi ke Madinah sehelai sepinggang dalam peristiwa hijrah. Semua harta kekayaan mereka ditinggalkan di Makkah, agar orang kafir tidak mengejar mereka. Mereka tidak rasa keluh kesah meninggalkan harta mereka. Mereka yakin, Allah akan menggantikan kepada mereka sesuatu yang lebih baik.
Iman ini, tertanam, kemudian tumbuh dengan subur sekali dalam jiwa orang-orang Islam ketika itu.
Sebab itu, apabila orang bertanya kepada saya, kenapa manusia hari ini tidak lagi mahu melakukan kebaikan, meninggalkan arahan Allah dan sebagainya, walaupun telah diajak, diajar melakukan kebaikan dan ditunjukkan bukti kehebatan solat, kebaikan menunaikan zakat dan sebagainya.
Maka saya akan jawab: Semuanya kerana permasalahan iman itu tidak diselesaikan. Tarbiyah(didikan) iman itu tidak diberikan.
Iman, bukannya boleh kita hayati dengan pengajaran di dalam kelas semata-mata. Iman perlukan latihan, dan praktikal yang membuatkan ia hidup dalam diri manusia. Manusia, perlu dilatih untuk meyakini Allah SWT dalam setiap tempat, masa dan perkara.
Itulah yang berlaku kepada Rasulullah SAW dan para sahabat. Sebab itulah, Allah SWT berfirman:
“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah).” Surah Al-Baqarah ayat 214.
Lihat, hingga ke akhirnya pun Rasul dan orang di sekelilingnya bertanyakan pertolongan Allah SWT. Tidak pula bertanyakan bantuan yang lain-lainnya. Inilah keimanan. Yakin, percaya.
Keteguhan inilah yang membina kekuatan mereka. Hal ini kerana, tiadalah kekuatan itu, melainkan datangnya daripada Allah SWT semata-mata.
Allah SWT, tidak mendidik generasi awal untuk melaksanakan sesuatu itu sekadar kerana mendapat arahan. Tetapi, Allah SWT telah mendidik generasi awal agar mereka faham, kenapa arahan itu perlu dilaksanakan. Mereka melaksanakan segala arahan Allah, kerana iman, kerana mereka yakin bahawa Allah SWT tidak akan mengkhianati mereka, tidak akan mempersia-siakan mereka.
Sebab itu, apabila datangnya ayat-ayat hukum seperti solat, puasa, zakat, hudud, haji dan sebagainya, mereka taat tanpa banyak soal, dan melakukannya tanpa banyak alasan. Mereka telah melalui hari-hari sukar dan keimanan itu telah memberikan kekuatan kepada mereka, maka keimanan mereka itu jugalah yang menimbulkan kekuatan untuk mereka melaksanakan segala tanggungjawab yang Allah berikan kepada mereka.
Ibu bapa sering mengeluh apabila melihat anak mereka meninggalkan solat, walaupun cara-cara solat sudah diajar semenjak kecil di tadika dan sekolah, walaupun ibu bapa jenuh mengajak anak-anak ke masjid. Tetapi, kemungkinan kita terlepas pandang sesuatu. Iman anak-anak itu tidak kita bina. Justeru, mereka tidak nampak akan keperluan mereka melakukan solat. Mereka mungkin sekadar nampak solat itu satu tradisi yang meletihkan. Tetapi, andai iman itu diselesaikan, saya yakin bahawa anak-anak itu akan faham kenapa mereka perlu melaksanakan solat.
Dari pembedahan kita berkenaan keimanan ini, walaupun secara ringkas, kita boleh melihat generasi awal Islam meraih kecemerlangan, kegemilangan dan kemenangan demi kemenangan dalam kehidupan mereka. Malah, kegemilangan mereka ini tersimbah pula pada generasi selepas mereka.
Semuanya bermula dengan iman.
Kegemilangan Islam dahulu, selama 1300 tahun lamanya itu, semuanya bermula dengan iman.
Permasalahan dunia hari ini, sebenarnya ubatnya juga adalah iman.
Maka, marilah kita kembali muhasabah, dan membina keimanan kita.
Jika kita inginkan kebahagiaan di dunia, dan juga di akhirat sana.
0 comments:
Post a Comment